Wednesday, February 19, 2014

Amalan Membaca Manzil Menjauhkan Diri Dari Sihir Dan Gangguan Jin



Sudah menjadi ketentuan manusia berhadapan dengan ranjau-ranjau kehidupan apatah lagi kita sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi. Melaksanakan perintah Allah SWT dalam diri dan keluarga tidaklah sepayah melaksanakan dalam masyarakat dan negara.

Diri dan keluarga kita mudah untuk dididik dan dipimpin kerana mereka di bawah tanggungjawab seorang ketua rumahtangga tetapi apabila kita melaksanakan perkara yang sama dalam masyarakat dan sebuah negara tentulah banyak tentangan dan cabaran. Apatah lagi berhadapan dengan masyarakat yang tidak terdidik menuju jalan Allah lebih-lebih lagi menghadapi rintangan yang cukup besar. Musuh akan berusaha menghalang sehingga kita tewas dalam perjuangan membangunkan hukum Allah di dalam masyarakat itu.


Rasulullah SAW memberi petunjuk kepada kita bagaimana untuk kita menghindari dari tipu helah, hasad dengki, adu domba, fitnah dan seumpamanya dari golongan yang sentiasa memusuhi orang-orang yang berusaha di atas jalan agama. Di antaranya yang terkandung di dalam risalah kecil iaitu Manzil yang merupakan himpunan pilihan ayat-ayat Al-Quran yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat.


Manzil ini merupakan ayat penyembuhan beberapa jenis penyakit zahir dan batin serta pelindung daripada serangan sihir atau ilmu syaitan. Manzil merupakan bekalan yang ampuh bagi menghadapi segala macam serangan mereka yang berpunca dari sifat mazmumah.


Justeru itu manzil ini mengandungi khasiat serta kebaikan bagi mereka yang beristiqamah serta tekun mengamalkannya. Disebut di dalam hadis sahih yang dicatatkan dalam sebuah kitab "Hayatus Sahabah" (Jilid ke 3, muka surat 334) hadis tersebut bermaksud seperti berikut :


Ubai bin Kaab ra. meriwayatkan : Sewaktu bersama Rasulullah SAW, seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkata, "Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit." "Penyakit apa?" bertanya Rasulullah SAW. "Sejenis gila", menjawab orang tersebut.
Rasulullah SAW menyuruh orang itu membawa saudaranya. Kemudian baginda membaca surah al-Fatihah, 4 ayat pertama surah al-Baqarah. Ayat yang bermula dengan wailahukumilahun wahid...., ayat kursi dan dua ayat seterusnya, 3 ayat terakhir dari surah al-Mutminun, ayat dari surah al-Jin(wa annahu ta'ala), sepuluh ayat pertama surah Wassafat, tiga ayat terakhir dari surah al-Hasyr, surah al-Ikhlas, surah al-Falah, surah an-Nas. Selepas itu orang yang berpenyakit itu bangun dan pergi dari situ, Penyakit yang dideritainya hilang.


                                Amalan membaca kitab Manzil boleh dimalkan selepas Maghrib atau selepas Subuh


Menyentuh mengenai fadhilat Manzil ini, ia mempunyai banyak kebaikan dan terbukti pada mereka yang mengamallannya. Daripada pengalaman kebanyakan orang yang mengamalkannya, Manzil ini sangat mustajab untuk menyembuhkan penyakit khususnya yang ada kaitan dengan sihir dan kerasukan jin.
Kelebihan menggunakan Manzil ini dengan cara pesakit itu membaca ayat-ayat tersebut ataupun orang lain membacanya dan menghembuskan ke atas segelas air atau sebaldi air kemudian air itu diminum tau dimandikan kepada pesakit.


Semoga Allah SWT menyembuhkan melalui pembacaan manzil ini. Selain Manzil, risalah ini mengandungi ayat-ayat "Munjiyat" yang diperoleh daripada pengalaman Ibnu Sirin rahimahullah, untuk melepaskan diri dari kesusahan dan ayat-ayat penyembuhan serta rawatan dari pengalaman Imam Abu Qasim Qushairi kemudian di akhir Manzil ini melampirkan satu doa khusus yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Abu Darda r.a. yang merupakan suatu doa kepada Allah SWT supaya diri, keluarga serta harta terpelihara dari bahaya dan malapetaka.


Mudah-mudahan risalah manzil ini menjadi suatu amalan kita yang berterusan di sisi Allah SWT. Akhirnya sama-samalah kita memohon limpahan rahmat dan nikmat-NYA sentiasa mencucuri dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...